Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
Zuliaty Zulkiffli


BUKAN hanya menikam bapa kandungnya hingga cedera di leher, dada dan bahu, seorang lelaki turut menikam warga emas di kedai makan dalam kejadian berasingan pada Jumaat lalu.

Dia yang ditahan tiga jam selepas kejadian berkenaan kini dalam tahanan reman sehingga Rabu, untuk siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superintendan Mohd Redzuan Salleh berkata, dua mangsa iaitu bapa suspek berusia 73 tahun dan warga emas lelaki berusia 67 tahun parah serta dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).

Katanya, kejadian pertama berlaku pada jam 2.45 petang dengan suspek berusia 20-an dipercayai menikam bapanya yang ditemui pengsan di tepi jalan dekat kawasan perindustrian Mergong, Alor Setar.

"Mangsa cedera di belakang leher, dada dan bahu sebelah kanan, manakala suspek melarikan diri sejurus kejadian. Punca kejadian itu dipercayai akibat perselisihan keluarga.

"Manakala kejadian kedua, suspek dipercayai menikam lelaki warga emas di sebuah kedai makan di Jalan Putra dan polis dimaklumkan kejadian pada 3.10 petang hari sama," katanya, hari ini.

Dalam kejadian kedua, suspek dikatakan bertindak demikian dalam keadaan mabuk dan mangsa cedera di bahu kanan dan kiri.

Mohd Redzuan berkata, suspek berjaya ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar dalam tempoh tiga jam selepas kejadian dan ujian air kencing mendapati dia positif Methapethamine.

"Berdasarkan pemeriksaan, suspek memiliki tiga rekod jenayah. Pisau digunakan suspek turut dirampas untuk siasatan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Julai 2020 @ 5:51 PM