ANGGOTA bomba membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit selepas kereta dipandunya terbabas di Jalan Sungai Besi, Kuala Lumpur, hari ini. Foto Ihsan JBPM
ANGGOTA bomba membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit selepas kereta dipandunya terbabas di Jalan Sungai Besi, Kuala Lumpur, hari ini. Foto Ihsan JBPM
Nurul Hidayah Bahaudin


JURUJUAL lelaki maut selepas kereta dipandunya terbabas dan melanggar pembahagi jalan hingga menembusi kenderaannya di Jalan Sungai Besi, Kuala Lumpur, hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, mangsa berusia 21 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi akibat parah di kepala.

Menurutnya, pihak polis menerima maklumat kejadian pada 2.40 pagi sebelum sepasukan anggota dihantar ke lokasi.

"Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta Perodua Myvi dipandu mangsa terbabas sendiri.

"Mangsa parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada 2.39 pagi.

Menurutnya, seramai 13 anggota bersama lima jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Hang Tuah dikejarkan ke lokasi.

"Sebaik tiba, kami mendapati kereta Perodua Myvi terbabas dan melanggar pembahagi jalan hingga menembusi kenderaannya.

"Mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu berjaya dikeluarkan beberapa minit kemudian dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Julai 2020 @ 5:21 PM