GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Abnor Hamizam Abd Manap


AKIBAT memukul orang sehingga cedera, seorang penganggur dijatuhi hukuman denda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret Bahau hari ini.

Majistret Khir Nizam Jemari menjatuhkan hukuman ke atas S Ramasamy, 38, dari Bahau selepas tertuduh mengaku salah terhadap dua pertuduhan dibaca oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh pada jam 7.20 malam 26 Mei lalu bertempat di Taman Desa Puteri dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap PS Yaarthiga, 9.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh pada jam 7.50 malam, 26 Mei lalu berhampiran kolam takungan air Taman Desa Puteri dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas R Segar, 25.

Oleh yang demikian, bagi kedua-dua pertuduhan, tertuduh dituduh mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh dijatuhi hukuman denda RM1,500 dan dua bulan penjara sekiranya gagal membayar denda.

Khir Nizam turut mengenakan denda RM2,500 bagi pertuduhan kedua dan sekiranya gagal membayar denda tertuduh boleh dihukum penjara selama tiga bulan.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh didapati menendang kanak-kanak berusia 9 tahun sehingga mendatangkan kecederaan bagi pertuduhan pertama dan seorang lagi mangsanya menggunakan batu sehingga mendatangkan kecederaan di bahagian muka sebelah kanan bagi pertuduhan kedua.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Amirul Noor Hashimi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Julai 2020 @ 6:14 PM