Ketua Pengarah Penjara Datuk Seri Zulkifli Omar (dua dari kanan) beramah mesra dengan Naib Canselor Universiti Sultan Zainai Abidin (UniSZA), Prof Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan (tiga dari kanan) sambil disaksikan Pengarah Bahagian Radikal dan Risiko Tinggi Jabatan Penjara Malaysia (JPM) Komisioner Penjara, Supri Hashim (kanan) dan Pengarah Penjara Terengganu, Timbalan Komisioner Penjara Ahmad Saidi Hamzah. FOTO AHMAD RABIUL ZULKIFLI
Ketua Pengarah Penjara Datuk Seri Zulkifli Omar (dua dari kanan) beramah mesra dengan Naib Canselor Universiti Sultan Zainai Abidin (UniSZA), Prof Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan (tiga dari kanan) sambil disaksikan Pengarah Bahagian Radikal dan Risiko Tinggi Jabatan Penjara Malaysia (JPM) Komisioner Penjara, Supri Hashim (kanan) dan Pengarah Penjara Terengganu, Timbalan Komisioner Penjara Ahmad Saidi Hamzah. FOTO AHMAD RABIUL ZULKIFLI
Ahmad Rabiul Zulkifli


JABATAN Penjara Malaysia (JPM) menyasar dua pertiga daripada 67,000 penghuni penjara di negara ini mengikuti sistem parol.

Ketua Pengarah Penjara Datuk Seri Zulkifli Omar berkata, hanya 0.4 peratus Orang Diparol (ODP) kembali terbabit jenayah selepas terbabit dengan sistem parol yang dijalankan JPM sejak 2008.

"Sehingga kini seramai 35,093 penghuni membabitkan kes dan kesalahan biasa seperti mencuri, pergaduhan kecil dan dadah seksyen rendah menjalani sistem berkenaan.

"Alhamdulillah semuanya berubah dan tidak kembali semula ke penjara kerana jenayah yang sama. Mereka mempunyai kerjaya dan dapat menjalani kehidupan dalam masyarakat seperti biasa.

"Justeru, kejayaan itu mendorong kami untuk melibatkan lebih ramai penghuni yang menepati piawaian bagi menjalani hukuman melalui sistem parol itu," katanya ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2019 Terengganu di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di Kuala Nerus, hari ini.

Turut hadir pada majlis itu, Pengarah Bahagian Radikal dan Risiko Tinggi JPM, Komisioner Penjara, Supri Hashim dan Pengarah Penjara Terengganu, Timbalan Komisioner Penjara Ahmad Saidi Hamzah.

Zulkifli berkata, majoriti banduan menjalani ODP berjaya kembali ke pangkuan masyarakat dan mendapat kerja yang sesuai di pelbagai sektor seperti pembuatan, kilang dan ladang.

"Malah ada bekas ODP yang sudah berjaya dalam kehidupan serta mempunyai perniagaan dan pekerjaan sendiri yang mampu menampung kehidupan mereka.

"Jadi ini satu kejayaan buat JPM kerana melalui sistem parol dijalankan, ramai bekas banduan kembali ke pangkuan masyarakat dan terhindar daripada jenayah," katanya.

Menurutnya, sistem parol dijalankan juga dapat menjimatkan kos ditanggung kerajaan berbanding menempatkan penghuni di penjara.

"Bayangkan JPM dapat mengurangkan kos untuk seorang penghuni sebanyak RM41.10 seorang untuk sehari di penjara.

"Oleh itu ODP memang wajar dan perlu dijalankan di samping dapat menyelesaikan masalah kepadatan penghuni di sesebuah penjara di negara ini," katanya.

Pada majlis itu seramai 41 kakitangan JPM di negeri ini menerima APC selain Naib Canselor UniSZA Prof Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan menerima Pangkat Kehormat JPM.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Julai 2020 @ 1:42 PM