GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Abnor Hamizam Abd Manap


JEMPOL : Warga emas dijatuhi hukuman denda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Bahau, semalam kerana mencederakan seorang lelaki menggunakan cuka getah dalam kejadian pada 6 Jun lalu.

Majistret Khir Nizam Jemari menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh Md Daud Ismail, 77 dari Batu Kikir mengaku salah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh pada jam 11 pagi, 6 Jun di sebuah rumah di Batu Kikir dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Azali Shamsudin, 53, dengan menggunakan cecair iaitu cuka getah.

Justeru, tertuduh dituduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 324, Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut seksyen dan kanun yang sama.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh pada jam 11 pagi 6 Jun lalu, pergi ke rumah lelaki yang dicederakan sambil membawa sebilah parang dan satu botol minuman mengandungi cuka getah.

Berlaku pertengkaran mulut di antara tertuduh dan lelaki terbabit sebelum tertuduh bertindak menyimbah cuka getah kepada lelaki itu.

Lelaki itu cedera di dada sebelah kiri, tangan sebelah kiri dan bahagian dagu/leher sebelah kiri.

Khir Nizam turut mengarahkan tertuduh menjalani hukuman penjara tiga bulan jika gagal membayar denda.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Amirul Noor Hashimi, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Julai 2020 @ 4:32 PM