GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


POLIS Diraja Malaysia (PDRM) akan menerima sejumlah 465 pelbagai jenis kenderaan termasuk motosikal berkuasa tinggi, van operasi dan kenderaan pengiring dengan bernilai RM92.4 juta.

Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi Bukit Aman Datuk Seri Rosli Ab Rahman berkata, pihaknya juga akan mendapat penambahan 425 unit kereta jenis Honda Civic 1.8 untuk digunakan dalam penugasan pencegahan jenayah dan rondaan pada tahun ini.

"Daripada jumlah itu, 102 kereta itu sudah diterima dan bakinya akan diterima secara berperingkat dan akan diedarkan ke seluruh negara.

"Selain itu, penggantian 850 kereta peronda model Honda Civic 1.8 dan Proton X70 yang membabitkan kos keseluruhan sewaan serta penyelenggaraan bernilai RM55 juta setahun.

"Penggantian adalah untuk kereta yang tamat tempoh penyewaan dan akan digantikan secara berperingkat sehingga akhir tahun ini," katanya ketika sidang media di Bukit Aman, Kuala Lumpur hari ini.

Mengulas lanjut, Rosli berkata, menerusi Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11), pihaknya sudah dan akan menerima 1,288 unit kenderaan pelbagai jenis dengan perolehan RM190. 8 juta.

"Semua kenderaan itu akan dan sudah diterima sejak tahun lalu hingga tahun ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Julai 2020 @ 5:17 PM