ANTARA premis perniagaan yang diserbu. FOTO ihsan DBKL
ANTARA premis perniagaan yang diserbu. FOTO ihsan DBKL
Muhaamad Hafis Nawawi


KEDEGILAN empat premis perniagaan makanan dan kedai runcit mengupah pekerja warga asing selain penjaja warga asing menjual air kelapa mengundang padah apabila diserbu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), hari ini.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, serbuan dilakukan bermula 8 pagi hingga 5 petang bagi memastikan pematuhan undang-undang dan prosedur operasi standard (SOP).

Menurutnya, empat premis terbabit yang terletak di Jalan Metro Perdana, Kuala Lumpur diberi kompaun kerana mengambil pekerja asing tanpa permit mengikut Undang-Undang Kecil (20) (1) (b).

"Salah satu kedai terbabit turut dikenakan tindakan sita kerana dikendalikan serta diurus warga asing mengikut Seksyen 101 (1)(v) Akta Kerajaan Tempatan 1976.

"Tindakan sita turut dikenakan kepada penjaja warga asing kerana menjual air kelapa mengikut Undang-Undang Kecil 3 (10) di Jalan Metro Perdana," katanya.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat kehadiran peniaga warga asing diminta menghubungi Pusat Panggilan Setempat DBKL di talian 1-800-88-3255 atau ke Pejabat Cawangan berhampiran.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Julai 2020 @ 7:53 PM