Isma Ismail dan Raja Noraina Raja Rahim


BERMULA 1 Ogos ini, kerajaan mewajibkan penggunaan pelitup muka dalam pengangkutan awam dan di tempat awam yang sesak.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia akan membabitkan pengangkutan awam seperti bas dan Transit Aliran Ringan (LRT) serta tempat awam termasuk pasat dan pasar tani.

Menurutnya, orang ramai juga boleh guna pelitup muka dijahit sendiri mengikut spesifikasi yang dikeluarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Katanya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan edar spesifikasi berkenaan dalam masa terdekat.

"Selama ini kerajaan tidak mewajibkan penggunaannya (pelitup muka) kerana akan membebankan kepada orang ramai yang berpendapatan rendah.

"Ia kerana tempoh terbaik untuk penggunaan setiap pelitup muka adalah selama tiga jam, kalau keluarga yang besar tanggungan tentunya akan membebankan.

"Sebab itu kerajaan benarkan untuk menggunakan pelitup muka yang dijahit sendiri mengikut spesifikasi yang WHO keluarkan," katanya ketika sidang media Majlis Keselamatan Negara (MKN) di Putrajaya hari ini.

Menurutnya, sesiapa yang didapati tidak mematuhinya boleh dikenakan tindakan kompaun sebanyak RM1,000.

Foto hiasan
Foto hiasan

Sementara itu, beliau berkata, kerajaan juga bersetuju untuk memantau restoran dan kedai makan di seluruh negara.

Menurut beliau, ia kerana dilihat ada pengusaha dan pelanggannya tidak mematuhi prosedur oeprasi standard (SOP) seperti yang ditetapkan.

Katanya, kerajaan sebelum ini memberi kelonggaran jumlah pelanggan yang boleh duduk mengikut saiz meja makan tetapi akhirnya dilihat ramai yang duduk berhimpit tanpa melakukan penjarakan sosial.

"Ia boleh menyebabkan berlaku peningkatan jangkitan Covid-19 dan juga sudah ada kluster restoran seperti yang berlaku di Brickfields.

"Jika didapati ada pengusaha dan pelanggan melanggar SOP, tindakan menutup restoran yang terbabit akan diambil.

"Kita kena tegas semula kerana kerana ramai yang langgar SOP, kalau boleh kita tidak mahu memperkenalkan semula PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) seperti yang diperkenalkan sebelum ini," katanya.


  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Julai 2020 @ 3:39 PM