LELAKI berusia 38 tahun ditahan polis ketika sedang meninjau untuk melakukan samun di Jalan Teknologi, Kota Damansara, Petaling Jaya. FOTO Ihsan Polis
LELAKI berusia 38 tahun ditahan polis ketika sedang meninjau untuk melakukan samun di Jalan Teknologi, Kota Damansara, Petaling Jaya. FOTO Ihsan Polis
Raja Noraina Raja Rahim


SEORANG penjenayah yang sedang 'meninjau' lokasi untuk melakukan jenayah samun terbantut apabila ditahan polis, semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, anggota unit peronda polis (MPV) yang membuat rondaan melihat sebuah kereta Perodua Viva dalam keadaan mencurigakan di Jalan Teknologi, Kota Damansara, pada 9 malam.

"Anggota terbabit kemudian menahan kereta dipandu lelaki berusia 38 tahun itu.

"Pemeriksaan lanjut menjumpai pelbagai jenis peralatan disyaki digunakan untuk jenayah pecah rumah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Nik Ezanee berkata, pemeriksaan mendapati suspek mempunyai tiga rekod jenayah lampau.

Katanya, suspek direman dua hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 28 (i)(II) Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Julai 2020 @ 7:45 PM