ANTARA PATI yang ditahan selepas cuba keluar dari Malaysia dalam Operasi Benteng di kawasan Ladang Tumbok, Tanjung Sepat, Selangor, semalam. FOTO ihsan Polis
ANTARA PATI yang ditahan selepas cuba keluar dari Malaysia dalam Operasi Benteng di kawasan Ladang Tumbok, Tanjung Sepat, Selangor, semalam. FOTO ihsan Polis
Nurul Hidayah Bahaudin


POLIS menahan 13 pendatang asing tanpa izin (Pati) bersama seorang lelaki warga tempatan yang dipercayai sebagai 'tekong darat' di kawasan Ladang Tumbok, Tanjung Sepat, Selangor, semalam.

Pegawai Pemerintah Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) Semenyih, Selangor Superintendan Zulafendy Hassan berkata, pihaknya menahan 14 individu terbabit menerusi Operasi Benteng di lokasi berkenaan jam 10.15 malam.

"Hasil operasi itu, kami menahan 13 Pati termasuk tiga wanita berusia antara 20 hingga 40 tahun bersama lelaki tempatan berusia 44 tahun.

"Siasatan awal mendapati lelaki tempatan berkenaan dipercayai bertindak sebagai tekong darat dan berperanan membawa Pati keluar dari Malaysia melalui jalan laut," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya turut merampas kenderaan kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dianggarkan bernilai RM29,000.

"Tangkapan dan rampasan itu dibawa ke Balai Polis Tanjung Sepat untuk tindakan lanjut.

"Kes itu disiasat mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 dan Akta Imigresen 1959/63," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Julai 2020 @ 6:12 PM