GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
BERNAMA

PASUKAN Gerakan Am (PGA) Semenyih menahan 13 pendatang asing tanpa izin (Pati) yang cuba menyeludup keluar dari negara ini dalam satu operasi di Ladang Tumbok, Tanjong Sepat, dekat Shah Alam, malam tadi.

Pegawai Pemerintah Batalion 4 PGA Semenyih, Superintendan Zulafendy Hassan berkata, pihaknya turut menahan seorang lelaki tempatan dalam operasi pada 10.15 malam itu.

"Dalam operasi itu, kami menahan 13 Pati termasuk tiga wanita berusia antara 20 hingga 40 tahun serta seorang lelaki tempatan berusia 44 tahun.

"Siasatan awal mendapati lelaki tempatan berkenaan dipercayai sebagai tekong darat dan berperanan membawa kumpulan Pati itu keluar dari Malaysia melalui jalan laut," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dianggarkan bernilai RM2,000 turut dirampas dalam operasi itu.

Katanya, semua mereka kini ditahan untuk disiasat mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Akta Imigresen 1959/63.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Julai 2020 @ 8:37 PM