GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Omar Ahmad


LELAKI yang tular selepas videonya meragut wanita warga emas tersebar, akhirnya ditangkap di Felda Sungai Pasak, Kota Tinggi, 1 pagi hari ini.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, suspek berusia 29 tahun yang positif dadah jenis methapethamin menerusi saringan awal air kencing itu meragut mangsa di Jalan Tambatan, petang semalam.

Katanya, mangsa berusia 68 tahun cedera di siku dan pergelangan tangan akibat terjatuh dalam kejadian itu.

"Hasil tangkapan, polis merampas sebuah motosikal dan dua telefon bimbit.

"Suspek yang tidak bekerja direman tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1)(c) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Video kejadian berdurasi 15 saat itu tular di Facebook sejak semalam dan netizen mengecam tindakan suspek meragut wanita warga emas yang sedang melintas jalan.

Wanita itu jatuh di tengah jalan yang tidak sibuk pada ketika itu akibat perbuatan suspek.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Julai 2020 @ 2:24 PM