BUKIT Malut. FOTO arkib NSTP
BUKIT Malut. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

TINDAKAN ke atas isu petempatan haram yang didakwa didirikan di atas tanah rizab hutan paya bakau Bukit Malut, Langkawi, Kedah hanya boleh diambil selepas laporan terperinci mengenai perkara itu diterima, kata Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Beliau berkata, tindakan yang akan diambil adalah berdasarkan peraturan sedia ada.

"Pihak kementerian mengambil maklum perkara berkenaan yang menjadi viral dan mendapat perhatian pelbagai pihak," katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Konservasi Ekosistem Hutan Pata Laut Antarabangsa Peringkat Kebangsaan 2020 di Pusat Eko Pelajaran Hutan Paya Laut Matang, di Larut, hari ini.

Beliau mengulas laporan sebuah media tempatan berhubung gesaan penduduk Langkawi agar kerajaan persekutuan melakukan pemutihan ke atas kira-kira 10,000 warga Myanmar yang mendiami kawasan tersebut yang dikenali sebagai kawasan penempatan pendatang tanpa izin.

Sementara itu, berhubung sambutan hari ini, Shamsul Anuar berkata, kementeriannya kekal komited untuk memelihara dan memulihara kawasan paya bakau laut di seluruh negara yang mempunyai spesies flora yang tinggi iaitu 42 daripada 52 spesies bakau yang ada di Asia Tenggara.

"Jadi kita harus menjaga ekosistem (hutan paya laut) ini kerana ia merupakan salah satu ekosistem yang paling terancam di dunia.

"Kadar kehilangan hutan paya laut adalah tiga hingga lima kali lebih tinggi daripada kadar kehilangan hutan global," katanya.

Selain itu, beliau berkata, hutan paya laut berpotensi menjadi destinasi pelancongan dan mengambil contoh penanaman pokok rhu di Pantai Senok, Bachok, Kelantan yang terkenal dalam kalangan pengunjung sebagai Pulau Nami Malaysia.

Untuk rekod, Pulau Nami merupakan destinasi pelancongan terkenal di Korea Selatan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Julai 2020 @ 1:40 PM