Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia/APMM) Zon Maritim Tanjung Sedili menahan sebuah vesel utiliti di Perairan Johor Timur, kira-kira jam 2.30 petang, semalam. FOTO IHSAN APMM
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia/APMM) Zon Maritim Tanjung Sedili menahan sebuah vesel utiliti di Perairan Johor Timur, kira-kira jam 2.30 petang, semalam. FOTO IHSAN APMM
Nurul Amanina Suhaini


Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Tanjung Sedili menahan vesel utiliti di perairan Johor Timur, jam 2.30 petang semalam.

Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili Kapten Maritim Mohd Zulfadli Nayan berkata, vesel itu ditahan kapal ronda APMM selepas dikesan berapung-apung (hovering) pada kedudukan 9.4 batu nautika timur Tanjung Balau, di Kota Tinggi.

Katanya, nakhoda bot terbabit mendakwa membawa alat ganti daripada Singapura ke kapal tangki diuruskan syarikat berpangkalan di Greece yang dikatakan sedang berlabuh namun tiada sebarang manifest atau pelepasan pelabuhan dikemukakan ketika pemeriksaan dilakukan.

"Vesel yang berdaftar di Mongolia itu dikendalikan empat lelaki termasuk nakhoda warga Indonesia berusia antara 31 hingga 41 tahun sudah ditahan dan dibawa ke Zon Maritim Tanjung Sedili untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 44 Akta Kastam 1967 kerana berapung-apung dan Seksyen 474(2) Ordinan Perkapalan Saudagar (OPS) 1952 kerana vesel asing menyediakan perkhidmatan tanpa lesen yang sah dalam perairan Malaysia," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, jika sabit kesalahan, boleh dijatuhi hukuman denda RM 20,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau keduanya bagi Akta Kastam 1967 manakala bagi kesalahan di bawah OPS 1952 boleh didenda sehingga RM 10,000.

"Pengoperasian bot-bot asing yang berpangkalan di Singapura untuk menjalankan apa-apa perkhidmatan dalam perairan Malaysia tanpa kebenaran adalah satu pencabulan ke atas kedaulatan perairan negara.

"Pemilik dan pengusaha perkapalan juga diingatkan supaya menggunakan perkhidmatan tempatan apabila berada dalam perairan Malaysia.

"APMM tidak akan berkompromi dalam mengambil tindakan sewajarnya dan sentiasa mempertingkatkan kawalan keselamatan demi memastikan perairan negara bebas daripada sebarang aktiviti jenayah dan pelanggaran undang-undang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Julai 2020 @ 2:12 PM