Laporan Harian Metro sebelum ini.
Laporan Harian Metro sebelum ini.
Mahaizura Abd Malik

"RAMAI yang mahu balik, semuanya tidak kisah kalau dikuarantin cuma kami berharap kerajaan dapat sediakan tempat kuarantin murah, itu saja permintaan kami.

"Bagaimanapun, ramai pula salah faham sampai mengguris hati kami seolah-olah kami ini tidak mahu di kuarantin apabila tiba Malaysia nanti," kata Shahida Kamarul Baharen, 44.

Shahida meluahkan kekecewaannya selepas perkongsiannya mengenai kesulitan mereka sekeluarga di Arab Saudi disalah tafsir warganet sehingga mengguris hatinya.

Menurutnya, mereka bersedia untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan, namun meminta kerajaan mengambil kira kemampuan dan situasi dilalui rakyat Malaysia yang menetap di luar negara.

"Kami sedia mematuhi SOP dan tidak kisah menjalani kuarantin cuma kami mengharapkan kerajaan dapat menyediakan tempat kuarantin yang murah dan tidak membebankan terutama kami yang anak ramai ini.

"Kerajaan juga mungkin boleh mempertimbangkan kuarantin wajib di rumah dengan pemasangan gelang cip yang mampu dikesan seperti dilaksanakan Arab Saudi.

"Ini kerana, bukan semua orang duduk luar negara senang, kami sekeluarga juga berdepan kos sara hidup tinggi dan dikenakan pelbagai cukai di Arab Saudi selain suami diberhentikan kerja," katanya.

Menurutnya, tidak adil jika semua rakyat Malaysia pulang dari luar negara dipukul rata seperti golongan 'kluster kayangan'.

"Saya mohon dapatkan fakta yang benar tentang keadaan kami di sini. Jangan menilai hanya daripada perbuatan segelintir kluster kayangan kami pula yang terpaksa menanggung beban.

"Rayuan saya semoga kerajaan tidak melaksanakan sesuatu peraturan hanya berdasarkan anggaran tanpa menyelidik terlebih dulu situasi kami di negara luar kerana warganet tidak tahu apa yang kami lalui di sini," katanya.

Terdahulu, Harian Metro menyiarkan kesulitan dialami Shahida sekeluarga yang terbeban dengan kos sara hidup tinggi di Arab Saudi terutama selepas suaminya bakal hilang kerja pada Ogos ini.

Mereka yang memiliki lapan anak berusia tiga hingga 21 tahun sedang menanti tarikh pulang ke tanah air menerusi penerbangan khas.

Berita berkaitan

'Kami bukan kluster kayangan'

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Julai 2020 @ 5:59 PM