Lapan lelaki terdiri daripada lima pelajar sekolah ditahan polis selepas mereka berlumba haram di Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth(LLB). FOTO Ihsan PDRM
Lapan lelaki terdiri daripada lima pelajar sekolah ditahan polis selepas mereka berlumba haram di Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth(LLB). FOTO Ihsan PDRM
Nur Izzati Mohamad


LAPAN lelaki terdiri lima pelajar sekolah diberkas polis selepas mereka berlumba haram hingga mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya lain.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata polis mengadakan Op Samseng Jalanan pada petang kelmarin hingga awal pagi tadi di Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (LLB) yang menjadi lokasi tumpuan lumba haram.

"Sepanjang operasi diadakan lapan remaja lelaki berusia 15 hingga 18 tahun dicekup polis kerana berlumba dan menunggang motosikal dengan pelbagai aksi berbahaya.

"Lima daripada lapan ditahan masih lagi bersekolah dan ada juga yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Menurutnya, semua mereka ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Noorzainy berkata, sepanjang tiga minggu mengadakan operasi di lokasi berkenaan, polis sudah menahan 29 individu.

"Bagaimanapun, masih terdapat lagi individu yang masih tidak serik dan terus menjalankan kegiatan tidak sihat bahkan berbahaya kepada diri sendiri serta pengguna jalan raya lain.

"Polis tidak akan berkompromi dan terus komited dalam memerangi kegiatan lumba haram di daerah ini apatah lagi ia banyak dipelopori golongan muda terdiri daripada pelajar sekolah yang mana masa depan mereka akan musnah jika terus menerus melakukan aktiviti tidak berfaedah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Julai 2020 @ 2:21 PM