Syaherah Mustafa


SEKALI pandang, ia kelihatan seperti buah rambutan dikopek kulitnya, namun ia sebenarnya kuih berasal dari Thailand yang dihasilkan daripada sagu dan berintikan kacang, isi ayam dan lobak jeruk.

Kuih dikenali sebagai sagu Yapsai atau sagu salad itu biasanya dijual di kawasan sempadan Thailand seperti di Pekan Rantau Panjang, Padang Besar, Perlis dan Bukit Kayu Hitam, Kedah.

Tekstur rasa lembut berintikan semua bahan dimasak secara manis memikat selera siapa yang memakannya, terutama jika digandingkan dengan salad dan cili padi.

Pengusahanya, Zuriati Fatimah Abdullah, 28, berkata ramai yang baru pertama melihat kuih terbabit beranggapan ia buah rambutan sehinggalah mereka menyentuh dan merasai sendiri kuih itu.

Katanya, dia menghasilkan hampir setiap hari kuih sagu Yapsai untuk diletakkan di kedai makan sekitar pekan Rantau Panjang selain turut menerima tempahan untuk majlis keraian.

"Setiap hari, seawal 3 pagi saya menghasilkan kuih ini dibantu ibu, Zubaidah Ismail, 60, dan kakak, Zulzilu Abdullah, 30. Biasanya inti diproses sehari lebih awal kerana perlu dimasak dengan gula melaka selama tiga jam sehingga kering dan sesuai dijadikan inti.

"Bagi menghasilkan sagu Yapsai, ia memerlukan kesabaran tinggi kerana perlu digentel berbentuk bulat selepas diletakkan inti dan kemudian dikukus selama 10 minit berlapik daun pisang supaya aroma baunya menjadi lebih sedap.

"Kebanyakan yang baru cuba membuat kuih ini mengakui sukar ketika proses menggentel berikutan sagu sukar dibentuk menjadi bulat dan mudah pecah," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Cabang Tiga, Jalan Lubok Stol, Rantau Panjang.

Zuriati yang juga pemegang Sijil Suruhanjaya Tenaga Malaysia dalam bidang Pendawaian Elektrik, berkata sagu Yapsai dijual pada harga RM3 sehingga RM16 sebekas bergantung kepada permintaan pelanggan.

Dia yang juga anak bongsu daripada tujuh beradik mengakui tidak menang tangan menghasilkan kuih itu pada Ramadan apabila permintaan mencecah lebih 1,000 biji setiap hari berbanding hari biasa sekitar 150 biji sehari.

Zuriati Fatimah Abdullah, 28, (kanan) bersama kakaknya, Zulzilu Abdullah, 30, menunjukkan Sagu Yapsai yang dihasilkan mereka ketika ditemui di rumahnya Kampung Cabang Tiga, Jalan Lubok Stol, di sini, hari ini. FOTO SYAHERAH MUSTAFA
Zuriati Fatimah Abdullah, 28, (kanan) bersama kakaknya, Zulzilu Abdullah, 30, menunjukkan Sagu Yapsai yang dihasilkan mereka ketika ditemui di rumahnya Kampung Cabang Tiga, Jalan Lubok Stol, di sini, hari ini. FOTO SYAHERAH MUSTAFA

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Julai 2020 @ 4:17 PM