PAVITHRA muncul semula di YouTube dengan menu dalca tulang kambing.
PAVITHRA muncul semula di YouTube dengan menu dalca tulang kambing.
Yusmizal Dolah Aling


DALCA tulang kambing menjadi pilihan YouTuber sensasi S Pavithra, yang membuat kemunculan semula hari ini di dalam media sosial itu selepas dilanda kontroversi minggu lalu.

Video berdurasi 6 minit dan 15 saat itu yang pertama selepas semua 98 video di saluran berkenaan yang dihasilkan mereka sebelum ini dipadamkan.

Tampil bersahaja seperti sebelumnya, Pavithra, 28, menunjukkan demonstrasi masakan dalca dengan mendapat lebih 15,000 tanda suka selepas 30 minit dimuat naik.

Sehingga 7 malam ini, terdapat lebih 1,000 komen daripada netizen yang rata-rata memberikan semangat kepada suri rumah itu untuk menghasilkan video pada masa depan.

Isnin lalu, suami YouTuber itu, M Sugu memaklumkan, video baharu pasangan itu akan dimuat naik ke YouTube 'Sugu Pavithra' selepas perbincangan dengan beberapa pihak selesai.

Katanya, dia memadamkan semua video sebelum ini selepas didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh kerana memiliki senjata berbahaya dan menyebabkan kecederaan ke atas isterinya menggunakan telefon bimbit.

Kes berkenaan mendapat perhatian netizen yang mengikuti saluran YouTube pasangan berkenaan yang sebelum ini turut mencuri perhatian Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Susulan saluran mereka tular, Muhyiddin menghadiahkan mereka tripod, ketuhar gelombang mikro, periuk nasi elektrik serta barangan memasak.

Selain itu pasangan daripada Ipoh Perak itu berpeluang bersemuka dengan Perdana Menteri pada Majlis Pelancaran Rukun Negara ke-50 di Putrajaya, 9 Julai lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Julai 2020 @ 7:52 PM