Foto hiasan
Foto hiasan
BERNAMA

SAMBUTAN Aidiladha dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP), antaranya memakai pelitup muka dan amalkan penjarakan sosial.

Inilah antara semangat pengorbanan yang perlu ditunjukkan oleh masyarakat Islam negara ini dalam meraikan Hari Raya Haji yang juga dikenali sebagai Hari Raya Korban esok.

Meskipun Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan tidak ada sekatan untuk 'balik kampung', namun buatlah keputusan bijak dan pastikan SOP dipatuhi untuk mengelakkan jangkitan Covid-19 yang masih belum dapat diputuskan rantaian penularannya.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Malaysia akan menghadapi gelombang ketiga wabak Covid-19 sekiranya orang ramai gagal mematuhi SOP.

Justeru, dalam kegembiraan berkumpul dengan ahli keluarga, saudara mara, jiran tetangga dan sahabat handai, pastikan kita semua mengamalkan SOP yang sudah banyak kali diulang oleh Dr Noor Hisham.

Ismail Sabri petang kelmarin berkata, meskipun kerajaan memberi kelonggaran untuk perayaan Aidiladha, orang ramai masih tertakluk kepada SOP yang ditetapkan.

Antaranya, bagi jamuan di rumah, bilangan tetamu dihadkan maksimum 20 orang. Individu yang dikuarantin dilarang keluar dari kediaman masing-masing.

Untuk ibadah korban pula, jumlah haiwan tidak melebihi 10 ekor bagi masjid dan surau sementara jumlah petugas dihadkan 20 orang untuk setiap ekor haiwan korban.

Ibadah korban boleh dilakukan selama hanya empat hari iaitu pada hari raya pertama selepas solat Aidiladha dan tiga hari tasyrik.

Sudah tentunya bukan semua termasuk yang bertugas di pejabat dapat 'balik kampung', sama-sama menunaikan solat hari raya sehinggalah kepada meraikan tetamu di rumah atau berkunjung ke rumah jiran, saudara-mara dan rakan taulan.

Inilah masanya untuk mereka yang diperlukan bertugas benar-benar menghayati hikmah itu sendiri yang jelasnya bukan semata-mata merujuk kepada ibadah korban.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Julai 2020 @ 4:29 PM