Laporan mengenai lelaki Pakistan pukul pengawal keselamatan
Laporan mengenai lelaki Pakistan pukul pengawal keselamatan
Raja Noraina Raja Rahim


POLIS sudah membuka kertas siasatan berhubung kejadian seorang pengawal keselamatan dipukul lelaki lain dalam kejadian yang tular di media sosial, hari ini.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Rajab Ahad Ismail berkata, siasatan awal polis mendapati klip video berdurasi 44 saat itu bertarikh 7 Julai lalu.

"Hasil siasatan lanjut mendapati kejadian berlaku di tempat letak kenderaan di sebuah kondominium di Jalan Madrasah, Wangsa Maju.

"Kejadian dipercayai membabitkan suspek warga Pakistan dan mangsa warga Nepal yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di bangunan berkenaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, pihak polis sedang menyiasat punca kejadian terbabit bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Shahrul Azzuan Sharom di talian 016-2014334 atau Pegawai Penyiasat Kanan Deputi Superintendan Stephen Ganeson di talian 016-3767390.

Orang ramai juga boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Terdahulu, portal Harian Metro melaporkan Kedutaan Nepal di Kuala Lumpur membuat laporan polis berhubung penyebaran klip video menunjukkan seorang pengawal keselamatan dipukul.

Berita berkaitan

'You mari sini cari kerja ke cari masalah'

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Julai 2020 @ 9:22 PM