TULISAN menyerupai lalimah Allah SWT di telinga Faizatul Azwin Mohd Zamri . FOTO ihsan Mohd Zamri Ibrahim
TULISAN menyerupai lalimah Allah SWT di telinga Faizatul Azwin Mohd Zamri . FOTO ihsan Mohd Zamri Ibrahim
Hazira Ahmad Zaidi


BUKAN sahaja teruja menyambut kelahiran anak kelima, malah lebih istimewa, kedua-dua telinga bayi yang dilahirkan itu juga mempunyai tulisan menyerupai kalimah Allah SWT.

Mohd Zamri Ibrahim, 45, atau lebih sebagai Z Zamri berkata, keistimewaan yang dimiliki oleh anak bongsu daripada lima beradik itu disedari oleh isterinya, Fazilawati Ismail, 41, sehari selepas anak mereka dilahirkan.

Katanya, bayi perempuan seberat 2.8 kilogram (kg) dilahirkan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) pada 21 Julai lalu dan diberikan nama Faizatul Azwin Mohd Zamri

Anaknya yang kini sudah berusia 11 hari berada dalam keadaan sihat.

"Ketika isteri melahirkan anak perempuan kami, saya tidak berada bersamanya kerana berada di luar Kelantan atas beberapa urusan, namun selepas semuanya selesai saya membuat panggilan video melalui WhatsApp untuk iqamatkan bayi kami yang baru dilahirkan," katanya ketika dihubungi, di Kota Bharu, hari ini.

Katanya, pada awalnya dia mahupun isteri tidak menyedari tanda istimewa yang ada ada Faizatul Azwin sehinggalah pada keesokan harinya ketika isteri hendak menyusukannya, dia ternampak tulisan menyerupai kalimah Allah SWT di kedua-dua telinga anak mereka.

"Selepas melihat keistimewaan yang dimiliki anak kami, isteri saya kemudian menghantar gambar melalui WhatsApp untuk saya melihatnya sendiri.

"Saya terkejut, namun bersyukur kerana ia adalah kurniaan Allah SWT buat kami kerana memiliki cahaya mata yang kedua-dua telinganya bertanda kalimah Allah SWT.

"Ini adalah kebesaran-Nya dan saya mahu Faizatul Azwin menerima didikan Islam yang sempurna," katanya.

Z Zamri yang juga pelakon drama bersiri Gerak Khas, berkata, sepanjang tempoh kelahiran, isterinya sentiasa mengamalkan membaca ayat suci al-Quran bagi memudahkan proses bersalin.

"Setiap kali selepas solat, isteri membaca surah Yusuf dan Maryam, malah sebelum tidur dia juga tidak ketinggalan mengaamalkan surah al- Fatihah dan ayat Kursi. Bukan itu saja, sebagai suami saya juga selalu memperdengarkan selawat," katanya yang berasal dari Pulau Seratus, Tumpat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Ogos 2020 @ 12:22 PM