GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Rafiqah Dahali


Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah Bakal Mempertandingkan 45 Kerusi Bagi Menghadapi Pilihan Raya Negeri (Prn) Sabah.

Ketuanya, Datuk Seri Hajiji Noor dalam satu kenyataan hari ini berkata, pihaknya bakal mengadakan mesyuarat pada minggu hadapan mengenai persiapan jentera parti di setiap kawasan DUN Sabah.

"Kita sudah bersiap-sedia dan mengenal pasti 45 kawasan DUN yang akan ditandingi oleh semua calon BERSATU.

"Kita akan mengemukakan calon yang berwibawa, mempunyai kredibiliti, berkemampuan dan mampu memenangi kerusi yang bakal ditandingi," katanya.

Sementara itu, Hajiji turut berkata, pihaknya juga bersedia mengadakan perbincangan dengan semua parti komponen Perikatan Nasional (PN), UMNO dan Barisan Nasional (BN) bagi memastikan kemenangan dalam PRN Sabah kelak.

Katanya, pihaknya juga akan menawarkan manifesto dan hala tuju terbaik untuk rakyat Sabah selain fokus untuk membangunkan semula ekonomi negeri selepas krisis pandemik Covid-19 sekiranya diberi peluang menerajui kerajaan negeri.

Di samping itu, Hajiji juga menjelaskan aspek lain yang akan menjadi keutamaan perjuangan Bersatu Sabah adalah untuk memastikan hak dan kepentingan rakyat dan negeri Sabah terus dipertahankan.

"Kita akan pastikan negeri dan rakyat Sabah yang menetap di sini berasa selamat dan tenteram.

"Kita juga yakin Bersatu akan menjadi alternatif terbaik dan diterima oleh sebilangan besar rakyat untuk menerajui negeri Sabah.

"Bersatu Sabah akan melancarkan manifesto pilihan raya negeri sebelum tarikh penamaan calon," katanya.

Hari ini, media melaporkan 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) akan dipertandingkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang bakal diadakan tidak lama lagi.

Lagi berita berkaitan PRN Sabah

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Ogos 2020 @ 2:48 PM