NUR Shahera memberi minum Nur Qaysara yang didukung adik iparnya, Mohd Abdul Rahim Azman, 32, sambil diperhatikan Azman. FOTO Hassan Omar
NUR Shahera memberi minum Nur Qaysara yang didukung adik iparnya, Mohd Abdul Rahim Azman, 32, sambil diperhatikan Azman. FOTO Hassan Omar
Hassan Omar


PADA usia setahun enam bulan, Nur Qaysara Mohd Firdaus muncul sebagai peserta program korban paling muda dalam kalangan 109 peserta lain apabila mengorbankan seekor kambing jantan hari ini.

Korban itu dilaksanakan atas nama bayi berkenaan oleh datuknya, Azman Minhat, 57, sebagai tanda kesyukuran dengan kelahiran cucu sulung selain untuk mengimarahkan program korban kali ini.

Program itu anjuran Masjid al-Ehsan, Kampung Londang, Masjid Tanah dekat sini. Korban membabitkan empat kambing dan 26 lembu.

Azman berkata, beliau bersyukur dengan kelahiran cucu sulungnya itu yang menyerikan lagi kehidupan keluarganya.

"Alhamdulillah, kehadiran cucu yang juga hasil perkongsian hidup anak, Mohd Firdaus, yang berusia 30 tahun dan menantu, Nur Shahera Nordin, juga berumur 30 tahun, amat dinanti. Semoga ibadat ini diterima Allah SWT," katanya.

Sementara itu, Nur Shahera berkata, dia dan suami bersyukur apabila Azman menyatakan hasrat untuk melaksanakan ibadat korban atas nama Nur Qaysara.

"Alhamdulillah, kami berterima kasih pada ayah dan ibu. Kami berdoa supaya Nur Qaysara akan menjadi anak yang berbakti kepada agama, bangsa dan negara apabila dewasa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Ogos 2020 @ 3:12 PM