Laporan Harian Metro sebelum ini.
Laporan Harian Metro sebelum ini.
Muhaamad Hafis Nawawi

TEKANAN perasaan disebabkan masalah dipercayai menjadi punca seorang lelaki mengamuk dan cuba membunuh diri di Perumahan Awam di Bandar Tun Razak, Cheras.

Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata, Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras menerima panggilan memaklumkan ada orang mengamuk di dalam rumah di perumahan itu pada 4.30 pagi sebelum anggota ronda cegah jenayah Balai Polis Salak Selatan diarah ke lokasi.

Menurutnya, sebaik anggota tiba di lokasi didapati seorang lelaki berusia 28 sedang menjerit dan mengamuk di dalam sebuah rumah.

"Anggota polis cuba mententeramkannya dari luar rumah tetapi dia enggan beri kerjasama dan terus lari ke balkoni belakang rumah untuk terjun.

"Disebabkan pintu berkunci, anggota hubungi Bilik Gerakan IPD Cheras untuk mendapatkan bantuan bomba," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mokhsein berkata, suspek berjaya ditahan sebaik pintu rumah dipecah dengan bantuan pihak bomba.

"Siasatan awal dapati suspek dipercayai mengalami tekanan perasaan disebabkan masalah keluarga dan tidak bekerja serta tinggal seorang diri di rumah itu.

"Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine," katanya.

Beliau berkata, suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Portal Harian Metro hari ini melaporkan tindakan pantas anggota bomba dan polis berjaya menyelamatkan lelaki yang mengamuk dan cuba membunuh diri terjun dari tingkat lima dengan menangkapnya menggunakan cara rapelling.

Berita berkaitan

Gagalkan cubaan lelaki amuk terjun bangunan [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Ogos 2020 @ 7:29 PM