Sebahagian tiang kapal tunda masih kelihatan selepas karam di Kuala Igan, Mukah pada petang hari ini. Foto Erika George
Sebahagian tiang kapal tunda masih kelihatan selepas karam di Kuala Igan, Mukah pada petang hari ini. Foto Erika George
Erika George

JURAGAN kapal tunda dipercayai selamat manakala kru hilang selepas bot yang dinaiki karam di Kuala Igan, Mukah pada petang hari ini.

Dalam kejadian 1 tengah hari itu, bot terbabit dilihat berselisih dengan nelayan tempatan di perairan berkenaan pada jarak tiga ke empat batu nautika dari Pantai Kuala Igan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Sarawak berkata, mereka menerima panggilan mengenai insiden dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mukah pada 3.20 petang.

"Seramai lima anggota BBP Mukah diketuai Penolong Penguasa Bomba Azman Hanapis bergerak ke lokasi kejadian bagi menjalankan pemeriksaan serta menyelamat mangsa," katanya.

Katanya, tiba di lokasi kejadian hanya didapati tiang kapal tunda yang masih lagi kelihatan bersama tongkang yang ditarik masih lagi berada di lokasi kejadian.

"Usaha mencari dan menyelamat dilakukan di permukaan di sekitar kawasan kapal karam itu namun gagal mengesan mangsa yang dikhuatiri lemas itu," ujarnya.

Menurutnya, berdasarkan maklumat awal, bekas pemilik bot terbabit menerima panggilan daripada juragan berkenaan dan melaporkan terdapat seorang mangsa terperangkap di dalam kapal terbabit.

"Difahamkan sehingga kini, tiada maklumat lengkap mengenai identiti mangsa yang hilang dan usaha untuk mengesan juragan kapal sedang giat dijalankan," tambahnya.

Azman berkata, usaha pencarian mangsa ditangguhkan pada 6.30 petang dan akan diteruskan pagi esok.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Ogos 2020 @ 9:43 PM