Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal. Foto NSTP
Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal. Foto NSTP
Raja Noraina Raja Rahim

TERLALU awal untuk mana-mana pihak memberi komen berhubung rundingan pengagihan kerusi antara Umno dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Ketua Bahagian Bersatu Titiwangsa Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, Bersatu Sabah sebagai sebuah blok besar dalam politik tanah air berhak melakukan perancangan mereka sendiri sebelum memulakan perbincangan lanjut dengan pimpinan Pusat dan rakan sekutu.

Menurutnya, Bersatu juga adalah sebuah parti yang menjunjung demokrasi dan sentiasa menghormati hak bersuara serta meraikan perbezaan pandangan.

"Jangan bawa cara politik lama Semenanjung ke Sabah. Belajarlah daripada keangkuhan DAP yang membawa kepada kejatuhan kerajaan terdahulu," katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai kenyataan Ketua Penerangan UMNO Shahril Hamdan supaya Bersatu Sabah berunding terlebih dahulu dengan UMNO mengenai kerusi yang akan ditandingi dalam PRN sebelum membuat pengumuman.

Shahril dilaporkan mendakwa UMNO mempunyai cita-cita berlandaskan kekuatan parti dalam menjayakan agenda rakyat Sabah, namun ia disulami kebijaksanaan dengan menghormati proses perundingan.

UMNO yakin Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin dan pasukannya bijak mengurus landskap terbaru itu.

Mengulas mengenainya, Wan Ahmad Fayhsal yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan berkata, Shahril tidak seharusnya melemparkan kata-kata kurang manis kepada seorang pemimpin kanan negeri berautonomi seperti Sabah.

"Adalah terlalu awal untuk mana-mana pihak memberikan komen, terutamanya jika ia hanya mengeruhkan keadaan," katanya.

Katanya, ARMADA khususnya di Sabah akan terus menyokong apa juga keputusan pucuk pimpinan dan menggerakkan jentera anak muda demi kemenangan Bersatu.

  • Lagi berita berkaitan PRN Sabah
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Ogos 2020 @ 10:33 PM