GAMBAR yang tular sejak Jumaat lalu.
GAMBAR yang tular sejak Jumaat lalu.
Suraya Roslan


SYARIKAT konsesi Lebuhraya Pantai Timur (LPT), ANIH Berhad (ANIH) menggesa orang ramai tidak menunaikan ibadah solat di lorong kecemasan lebuh raya atas faktor keselamatan.

ANIH dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, pihaknya bimbang jika dibiarkan keadaan itu berterusan menyebabkan penunggang motosikal dan kenderaan lain tidak menyedari kehadiran individu sedang menunaikan solatdi lorong kecemasan.

"Kelak mungkin akan terdapat pengguna jalan raya lain yang turut sama solat dan ini mungkin menyebabkan penunggang motosikal dan kenderaan lain yang mungkin tidak menyedari kehadiran statik individu berada di lorong kecemasan," katanya.

Menurutnya, pihaknya mengambil maklum gambar tular di media sosial sejak Jumaat lalu menunjukkan pengguna menunaikan solat Subuh di lorong kecemasan di Kilometer 32, Lebuhraya Kuala Lumpur–Karak (KLK) akibat kesesakan lalu lintas ketika pulang ke kampung bagi sambutan Aidiladha.

"Kami amat menghargai kesabaran pengguna Lebuhraya KLK dan juga ketaatan umat Islam menunaikan ibadah solat ketika dalam perjalanan ke Pantai Timur pada setiap kali musim perayaan dan cuti umum.

"Namun, kami sebagai pengendali Lebuhraya KLK juga ingin memohon kesabaran dan penelitian wajar daripada pengguna jalan raya supaya tidak menunaikan ibadah solat di atas jalan raya iaitu di lorong kecemasan atas faktor keselamatan," kataya.

Katanya, diharapkan pengguna lebuh raya dapat merancang perjalanan dan persinggahan untuk solat atau berhenti di Hentian Rehat dan Rawat sepanjang Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 dan Lebuhraya KLK ketika menuju pulang ke Lembah Klang.

"Kita juga menjangkakan peningkatan jumlah kenderaan mendadak dan kesesakan yang bakal ditempuhi kelak.

"ANIH amat menghargai komitmen pengguna jalan raya dalam meningkatkan keselamatan di jalan raya untuk diri sendiri, keluarga dan pengguna lain serta senantiasa bersabar di dalam aliran trafik puncak," katanya.

Sebarang pertanyaan pengguna digalakkan untuk menghubungi LPT-line 03-547 9111 atau 1700-818-700 dan juga email kepada [email protected] serta layari Twitter @LPTTrafik.

Sebelum ini tular dua wanita bertelekung dilihat menunaikan solat di tepi lebuh raya dipercayai berhampiran Plaza Tol Gombak menuju ke Genting Sempah hingga mengundang pelbagai reaksi netizen.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Ogos 2020 @ 11:36 AM