ANTARA sangkar burung berisi 600 ekor burung Murai Batu yang dirampas ATM.
ANTARA sangkar burung berisi 600 ekor burung Murai Batu yang dirampas ATM.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin


SEBANYAK 600 ekor burung Murai Batu yang cuba diseludup keluar ke Indonesia berjaya dihalang dan dirampas anggota pihak keselamatan.

Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia, dalam kenyataannya tadi berkata, rampasan menerusi operasi Op Benteng itu dilakukan jam 10.15 malam tadi.

Difahamkan rampasan dilakukan di lokasi yang dipertanggungjawabkan kepada Briged Ketujuh Infantri Malaysia (7 Bgd) oleh Pasukan Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (1 RRD) Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

"Maklumat diterima daripada orang awam Kampung Punggai, Bandar Penawar, Johor, yang mendakwa melihat sebuah bot mencurigakan berada di persisiran pantai.

"Susulan itu operasi dilancarkan oleh Tim Quick Reaction Force (QRF), 1 RRD di Kampung Punggai, Bandar Penawar. Hasilnya anggota tentera bertugas yang membuat penggeledahan menemui 60 bekas berisi burung murai yang cuba diseludup ke Indonesia," katanya.

Bagaimanapun bot dan suspek penyeludup berjaya melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pasukan keselamatan.

"Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) turut mengatur gerak sebuah bot untuk membuat pencarian di kawasan perairan namun bot digunakan penyeludup serta suspek gagal ditemui.

"Susulan itu pasukan 1 RRD menyerahkan barang rampasan itu kepada pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Johor untuk tindakan lanjut sebelum laporan dibuat di Balai Polis Bayu Damai.

"Keseluruhan nilai rampasan dianggarkan bernilai RM18,000 hingga ke RM 24,000," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Ogos 2020 @ 3:35 PM