Penyakit untut yang dihadapi Zai Kahar menyebabkan dia sukar berjalan. FOTO Ihsan Noor Azman
Penyakit untut yang dihadapi Zai Kahar menyebabkan dia sukar berjalan. FOTO Ihsan Noor Azman
Nazri Abu Bakar


"WALAUPUN kaki saya rasa 'bisa' dan amat sakit akibat penyakit untut gajah (lymphatic filariasis) namun saya tetap terus bekerja untuk menyara anak-anak," ujar Zai Kahar, 40.

Dia yang bekerja sebagai pembantu kedai di Pantai Puteri di sini, hanya bergantung kepada ubat penahan sakit untuk meneruskan kehidupan harian yang sukar.

"Mujur ada pemimpin masyarakat, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Agama Islam (MAIM) yang sudi membantu," katanya.

Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Kundor, Datuk Noor Azman Hassan turut melahirkan rasa simpati terhadap kesukaran Zai Kahar untuk bergerak akibat penyakit dialami.

Menurutnya, Zai tidak boleh langsung memakai kasut akibat penyakit berkenaan sekaligus mendorong beliau menghulurkan bantuan beras secara bulanan bagi menampung keperluan wanita itu bersama empat anak dijaga.

Katanya, Zai yang menyewa sebuah rumah di Pantai Rombang di sini, dengan kadar RM350 sebulan turut perlu menampung keperluan anak-anak yang masih bersekolah selepas suaminya gagal dikesan.

Bagaimanapun, Zai turut mendapat bantuan daripada JKM dan MAIM bagi menyara keperluannya sekeluarga.

"Berat mata memandang berat lagi bahu memikul. Dia nyata amat cekal dan tabah dengan bekerja di salah sebuah kedai makan di Pantai Puteri. Penyakit yang dihadapinya langsung tidak melemahkan semangat Zai mencari rezeki sebagai pembantu kedai," katanya.

Malah Noor Azman juga akan meneliti keperluan lain yang sesuai untuk dibantu wanita itu termasuk menjalani pembedahan di kaki kiri yang diserang penyakit itu

Dalam masa sama Zai juga diminta mengisi borang rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) di negeri ini berkenaan dalam usaha Adun terbabit membantu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Ogos 2020 @ 4:04 PM