Laporan Harian Metro sebelum ini.
Laporan Harian Metro sebelum ini.
Nurul Amanina Suhaini

LELAKI yang melecur selepas dipercayai membakar diri di kawasan tanah perkuburan di Jalan Kebun Teh, Johor Bahru malam tadi meninggal dunia pada pagi hari ini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan Asisten Komisioner Mohd Padzli Mohd Zain berkata, mangsa yang berusia 35 tahun itu dibawa ke Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru oleh pihak bomba untuk menerima rawatan lanjut selepas diselamatkan orang ramai.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa cuba membunuh diri dengan meminum petrol dan membakar diri menggunakan mancis.

"Doktor mengesahkan mangsa yang mengalami hampir 99 peratus melecur di badan kerana kesan terbakar meninggal dunia oada 1.37 pagi.

"Kes pada awalnya disiasat mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan kerana cuba bunuh diri namun sudah diklasifikasikan semula sebagai mati mengejut," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Malam tadi, Harian Metro melaporkan bomba yang tiba di lokasi mendapati api sudah dipadamkan oleh orang awam.

Mangsa diberikan rawatan awal oleh anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) sebelum dikejarkan ke hospital.

Berita berkaitan

Lelaki bakar diri diselamatkan

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Ogos 2020 @ 4:57 PM