Foto hiasan
Foto hiasan
Raja Noraina Raja Rahim

PELANGGAN restoran antara yang disahkan positif Covid-19 berkaitan dengan Kluster PUI Sivagangga dan menjangkiti 11 ahli keluarga dan seorang rakan mereka.

Pelanggan restoran pertama iaitu kes ke-8,975 menjangkiti ibu, isteri, dua anaknya, bapa saudara, ibu saudara, adik ipar dan rakan sekerja.

Pelanggan kedua iaitu kes ke-8,976 pula sudah menjangkiti isteri, anak dan dua cucunya.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, mereka antara 11 kes positif yang dilaporkan ke Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) berkaitan kluster itu pada hari ini.

"Lapan kes adalah kontak rapat kepada kes positif ke-8,975 iaitu termasuk juga satu kes pelajar sekolah berusia tujuh tahun yang juga kes generasi pertama.

"Tiga kes adalah kontak rapat kepada kes positif ke-8,976 iaitu termasuk satu kes pelajar sekolah berusia 10 tahun juga adalah kes generasi pertama.

"Kesemua kes dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk diasingkan dan menerima rawatan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, aktiviti pengesanan kontak rapat secara aktif giat dilaksanakan oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) untuk mencegah penularan Covid-19.

"Aktiviti pembersihan dan nyahkuman dilaksanakan di semua premis termasuklah sekolah yang terbabit dan rumah kes yang dikesan positif," katanya.

Menurutnya, sebanyak 313 orang disaring dengan 20 kes positif Covid-19, 280 negatif dan 13 masih menunggu keputusan ujian sehingga 12 tengah hari ini.

Beliau berkata, daripada 20 kes yang dikesan positif, kesemua kes adalah aktif namun tiada kes dirawat di ICU dan tiada kematian dilaporkan.

"Daripada kes positif yang dilaporkan, sebanyak 15 kes adalah dalam kalangan warganegara Malaysia dan lima kes di kalangan bukan warganegara Malaysia," katanya.

Terdahulu, portal berita Harian Metro hari ini melaporkan, satu keluarga di Kedah dilaporkan positif Covid-19 dipercayai berkaitan dengan penularan Kluster Sivagangga.

Berdasarkan mesej yang tular di media sosial mendakwa lelaki berkenaan seorang pemandu lori dan tinggal di Padang Sanai, Padang Terap manakala dua anaknya masing-masing bersekolah di Kubang Palas dan Padang Terap dijangkiti Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Ogos 2020 @ 5:58 PM