Jabatan Bomba Dan Penyelamat (JBPM) Setiu membantu mangsa terkandas menyeberangi sungai di Hutan Lipur Lata Payung kira-kira jam 10 malam semalam. FOTO Ihsan JBPM Setiu
Jabatan Bomba Dan Penyelamat (JBPM) Setiu membantu mangsa terkandas menyeberangi sungai di Hutan Lipur Lata Payung kira-kira jam 10 malam semalam. FOTO Ihsan JBPM Setiu
Nurul Fatihah Sulaini


"JIKA ikutkan ini kali pertama kami pergi ke Hutan Lipur Lata Payung mengikut bapa saudara memancing dan menjala ikan tetapi tidak sangka berdepan kepala air," kata Siti Nur Shuhada Alias, 26.

Shuhada berkata, perancangan itu datang secara spontan, semalam ketika mereka sekeluarga pulang menyambut Hari Raya Aidiladha di Kampung Sungai Tong, Permaisuri di Setiu.

"Kami tinggal di Kuantan, Pahang dan mengikut jadual hari ini sudah bertolak balik ke sana.

"Tetapi apabila bapa saudara mempelawa saya dan tiga adik-beradik serta seorang sepupu mengikutnya semalam, kami segera setuju kerana tidak pernah ke situ," katanya dihubungi, hari ini.

Katanya, mereka sampai di kawasan itu kira-kira 5.30 petang dan menyeberangi sungai untuk menjala ikan.

"Secara tiba-tiba arus semakin kuat dan sungai turut dipenuhi kayu hanyut, malah saiz sungai pada peringkat awal sekitar 100 meter bertukar hingga 200 meter.

"Bapa saudara dan sepupu sempat menyeberangi sungai, manakala saya serta tiga lagi adik-beradik terkandas dalam sungai," katanya.

Katanya, mereka terperangkap atas batu hampir empat jam dan terpaksa menahan kesejukan dalam hujan.

"Nasib baik abang, Mohd Hafiez, 28, membawa telefon bimbit lalu menghubungi pihak bomba untuk membantu kami termasuk dua adik Nurashima, 22, dan Muhammad Hashim, 18, yang terperangkap.

"Walaupun berjaya diselamatkan dan abang hanya cedera ringan di kaki, namun kami masih terkejut dengan kejadian yang hampir meragut nyawa itu," katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Setiu, Penolong Penguasa Bomba Zull Azman Jamaludin berkata, mangsa terkandas di kawasan terbabit akibat berlaku fenomena kepala air secara tiba-tiba.

Menurutnya, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada 7.22 malam semalam sebelum 14 anggota bersama sebuah jentera serta van Unit Perkhidmatan Penyelamatan dan Perawatan Kecemasan (EMRS) digerakkan ke lokasi kejadian.

"Kita berjaya membawa keluar kesemua mangsa menggunakan kaedah 'main line' dengan mengikat tali di batang pokok merentasi sungai.

"Mangsa yang memakai jaket keselamatan diiringi anggota bomba untuk menyeberangi sungai," katanya.

Menurutnya, pihaknya juga berdepan kesukaran untuk membawa keluar mangsa disebabkan keadaan arus deras dan paras air yang tinggi.

Katanya, operasi menyelamat kesemua mangsa selesai pada kira-kira 10 malam semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Ogos 2020 @ 6:04 PM