Tasik Paya Biru di Blok 17 Felda Lok Heng selatan, Bandar Penawar dekat Kota Tinggi yang sudah ditutup dan larangan mandi. (Gambar kecil) Muhammad Akmal Hakim ditemui lemas. Foto Ihsan PDRM
Tasik Paya Biru di Blok 17 Felda Lok Heng selatan, Bandar Penawar dekat Kota Tinggi yang sudah ditutup dan larangan mandi. (Gambar kecil) Muhammad Akmal Hakim ditemui lemas. Foto Ihsan PDRM
Nurul Amanina Suhaini

REMAJA lelaki ditemui lemas di kawasan Tasik Paya Biru di Blok 17 Felda Lok Heng selatan, Bandar Penawar dekat Kota Tinggi pada tengah hari ini.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Superintendan Hussin Zamora berkata, Muhammad Akmal Hakim Abdul Karim, 19, ditemui di dasar tasik berkenaan.

Menurutnya, Pusat Kawalan Polis Daerah Kota Tinggi yang menerima panggilan melalui MERS 999 menggerakkan anggotanya dari Balai Polis Bandar Penawar ke tempat kejadian bersama pasukan bomba untuk menjalankan operasi menyelamat.

"Siasatan awal mendapati mangsa ke lokasi berkenaan bersama lima rakannya iaitu tiga lelaki dan dua perempuan.

"Mangsa ditemui pada 12.53 tengah hari di dasar tasik dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Klinik Lok Heng.

"Mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Kota Tinggi untuk proses bedah siasat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hussin berkata, kes itu diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR) dan tiada membabitkan apa-apa perbuatan jenayah.

"Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kota Tinggi mengingatkan orang ramai supaya tidak mengunjungi atau mandi di tasik berkenaan lagi kerana kawasan berkenaan sudah diarahkan tutup pada 2018 selepas kejadian lemas yang berlaku di kawasan itu sebelum ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Ogos 2020 @ 6:26 PM