Laporan Harian Metro sebelum ini.
Laporan Harian Metro sebelum ini.
BERNAMA

MANGSA yang cedera dalam kejadian kebakaran sebuah bot di Dive Centre Floating di Semporna semalam, melecur antara lima hingga 30 peratus.

Dalam kejadian pada pagi semalam itu, tujuh pekerja sebuah pusat pelancongan selam skuba cedera.

Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) Datuk Hazani Ghazali berkata, polis menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 10.30 pagi dan mangsa, empat pekerja warga tempatan dan tiga pendatang tanpa izin (PATI) berusia 18 hingga 36 tahun.

Beliau berkata ketika kejadian, empat pekerja sedang menjalankan kerja pemindahan petrol dari tangki minyak ke dalam bekas di dalam bot sebelum berlaku letupan kecil, dipercayai bercampur dengan air, sehingga menyebabkan berlaku kebakaran.

"Kejadian itu menyebabkan mangsa melecur antara lima hingga 30 peratus pada beberapa anggota badan dan kini mendapat rawatan di Hospital Tawau," katanya hari ini.

Dalam pada itu, katanya, kes berkenaan masih dalam siasatan pihak polis.

Terdahulu, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Zaini Jass ketika dihubungi Bernama mengesahkan kejadian itu.

Berita berkaitan

7 cedera bot terbakar

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Ogos 2020 @ 7:15 PM