Keadaan di lokasi dua wanita maut dirempuh kereta di Lorong Mughni, Jalan Kebun di Shah Alam semalam. Foto Ihsan Pembaca
Keadaan di lokasi dua wanita maut dirempuh kereta di Lorong Mughni, Jalan Kebun di Shah Alam semalam. Foto Ihsan Pembaca
Norzamira Che Noh

DUA wanita Indonesia maut selepas dirempuh sebuah kereta yang dipandu seorang remaja dalam satu kemalangan di Lorong Mughni, Jalan Kebun di Shah Alam semalam.

Timbalan Ketua Polis Shah Alam Superintenden Ramsay Anak Embol berkata, kedua-dua mangsa yang berusia 45 tahun itu meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala dalam kejadian pada 10.20 malam.

"Difahamkan, kejadian itu berlaku ketika kedua-dua mangsa yang menunggang motosikal membelok ke simpang sebelah kiri.

"Pada masa yang sama, seorang remaja lelaki berusia 18 tahun yang memandu sebuah kereta gagal mengawal kenderaan seterusnya merempuh bahagian hadapan motosikal yang dinaiki mangsa.

"Rempuhan kuat itu menyebabkan kedua-dua mangsa tercampak ke jalan raya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Shah Alam untuk bedah siasat.

"Remaja berkenaan mempunyai lesen memandu malah ujian saringan air kencing serta alkohol juga didapati negatif.

"Sehingga kini, kita masih menyiasat punca sebenar kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) APJ 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Ogos 2020 @ 9:44 PM