ANTARA Pati yang ditahan malam tadi. FOTO Ihsan ATM.
ANTARA Pati yang ditahan malam tadi. FOTO Ihsan ATM.
Muhaamad Hafis Nawawi


KECEKAPAN kumpulan Pasukan Tindakan Cepat (QRF) menyusup bersama sekumpulan pendatang asing tanpa izin (Pati) yang sudah ditahan sebelum itu, berjaya menahan dua tekong Indonesia, malam tadi.

Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Div) dalam kenyataan hari ini berkata, pasukan satu Rejimen Renjer Diraja (RRD) di bawah Briged Ketujuh Infantri Malaysia (7 Bgd) menerima maklumat pergerakan Pati pada 10.30 malam.

Pati berkenaan cuba keluar dari negara ini di kawasan Op Benteng iaitu pesisir Pantai Punggai, Bandar Penawar, Johor.

Susulan itu QFR berjaya menangkap enam Pati Indonesia yang sedang menunggu bot bersama seorang tekong darat warga tempatan.

"Hasil maklumat daripada tangkapan itu, Kumpulan QRF seramai lima orang telah menyusup bersama sekumpulan Pati bagi merapati kedudukan sebuah bot yang menghampiri pesisir pantai.

"Kumpulan QRF kemudian berjaya menangkap dua tekong laut warga Indonesia bersama sebuah bot berkapasiti satu enjin Yamaha 200 HP yang dipercayai untuk membawa Pati balik ke Indonesia," kata kenyataan itu.

Menurutnya, orang yang ditahan semua lelaki berusia 25 hingga 52 tahun.

Pihak itu turut merampas tujuh telefon bimbit, wang tunai berjumlah RM2,404 dan IDR4 juta (RM1,161.50) dan bot menjadikan keseluruhan nilai rampasan RM147,344.

Maklumat turut disalurkan ke Bilik Gerakan Pasukan Khas Kebangsaan (NTF) di KD Sultan Ismail (KDSI) untuk pemantauan lanjut.

Pasukan berkenaan meneruskan kawalan di pesisir pantai manakala, semua Pati dibawa ke Balai Polis Bayu Damai untuk tindakan lanjut.


Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Ogos 2020 @ 11:18 AM