LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
Muhaamad Hafis Nawawi


LELAKI yang tergamak membunuh isterinya dengan menjerut leher mangsa menggunakan tudung sebelum mayatnya ditemui berhampiran tasik PKNS Pinggiran Cyberjaya, Dengkil, di Sepang, Khamis lalu didapati berlakon seolah-olah tidak mengetahui apa yang berlaku.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, itu taktik dilakukan lelaki berusia 41 tahun itu untuk mengaburi pihak berkuasa.

"Siasatan mendapati tindakan suspek yang berpura-pura mencari mangsa hanyalah lakonan semata-mata, seolah-olah tidak mengetahui apa yang berlaku terhadap mangsa.

"Pihak kami sudah membuat ujian saringan air kencing ke atas lelaki berkenaan, namun didapati negatif dadah," katanya hari ini.

Suspek kini direman selama tujuh hari bermula 31 Julai hingga 6 Ogos.

Wan Kamarul Azran berkata, jenazah mangsa sudah dikebumikan di Tanah Perkuburan USJ 21, Subang Jaya.

Katanya, anak mangsa kini dijaga ibu saudaranya yang tinggal di Kajang.

Portal Harian Metro semalam melaporkan tidak dapat menerima hakikat isterinya memfailkan pengesahan perceraian menyebabkan seorang lelaki tergamak membunuh wanita terbabit dengan menjerut lehernya menggunakan tudung sebelum mayatnya ditemui berhampiran tasik PKNS Pinggiran Cyberjaya, Dengkil, di Sepang, Khamis lalu.

Suspek berusia 41 tahun itu, turut berpura-pura mencari isterinya, 40, yang juga seorang pensyarah bersama anak perempuan berusia 14 tahun selepas membunuhnya sebelum menghubungi Mers 999 mendakwa menemui mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri pada 1.04 pagi.

Suspek yang bekerja sebagai sukarelawan badan bukan kerajaan (NGO) itu dipercayai melakukan perbuatan berkenaan di Taman Mas, Putra Perdana, di Sepang.

Berita berkaitan:

  • Anak mangsa luah rindu
  • Bunuh isteri guna tudung
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Ogos 2020 @ 2:40 PM