MAZLAN pada sidang media di IPD Petaling Jaya. FOTO Aswadi Alias.
MAZLAN pada sidang media di IPD Petaling Jaya. FOTO Aswadi Alias.
Muhaamad Hafis Nawawi


SIASATAN terhadap kes menconteng perkataan kurang menyenangkan pada mural gergasi potret beberapa pemimpin negara di Taman Cahaya Alam, Seksyen U12, Shah Alam, akan diselesaikan dalam masa terdekat.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Mazlan Mansor berkata, pihak polis sudah memperoleh beberapa petunjuk dan siasatan lanjut berkaitan beberapa perkara teknikal kini sedang dilaksanakan.

"Kita berharap isu ini akan dapat diselesaikan secepat mungkin.

"Namun ia mungkin mengambil sedikit masa kerana perlu memperhalusi perkara itu dengan betul dan menahan mereka yang terbabit dalam insiden ini," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, hari ini.

Terdahulu, satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) tular di media sosial 20 Julai lalu yang memaparkan dua kelibat wanita dipercayai dalang merosakkan mural berkenaan.

Rakaman video berdurasi dua minit 20 saat itu memaparkan sebuah kereta di parkir di sebelah lorong lukisan mural berkenaan sebelum kelibat dua individu itu muncul melakukan vandalisme.

Susulan vandalisme yang dilakukan terhadap mural pemimpin negara termasuk Yang Dipertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, pihak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) memadam semua mural dengan mengecat semula dinding itu.

Selain Agong, mural berkenaan memaparkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri Kanan (Pertahanan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Berita berkaitan

Polis sudah tahu siapa conteng mural pemimpin negara

Polis sudah ada petunjuk, sasaran penconteng mural

Conteng mural pemimpin: Kelibat dua wanita dirakam

Conteng mural pemimpin: Sultan Selangor murka

Conteng lukisan mural pemimpin: MBSA lapor polis

Kecewa mural diconteng [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Ogos 2020 @ 5:19 PM