KERETA dipandu wanita berusia 41 tahun merempuh kedai runcit yang berada di seberang jalan di Felda Air Tawar 5, Kota Tinggi. FOTO Ihsan pembaca
KERETA dipandu wanita berusia 41 tahun merempuh kedai runcit yang berada di seberang jalan di Felda Air Tawar 5, Kota Tinggi. FOTO Ihsan pembaca
Nurul Amanina Suhaini

SEBUAH kereta dipandu wanita berusia 41 tahun merempuh kedai runcit yang berada di seberang jalan di Felda Air Tawar 5, Kota Tinggi, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Superintendan Hussin Zamora berkata, dalam kejadian jam 9 malam, wanita yang memandu kereta jenis Proton Saga bersama anaknya berusia 15 tahun dipercayai sedang keluar dari simpang berhadapan kedai dobi sebelum terkejut apabila sebuah motosikal melintas di hadapannya.

"Pemandu kereta itu tersilap menekan pedal minyak yang disangka pedal brek dan kemudian keretanya bergerak ke hadapan sebelum merempuh sebuah kedai runcit di seberang jalan.

"Bagaimanapun pemandu dan penumpang kereta tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Kes disiasat mengikut Rule 10 LN 167/59. Punca kemalangan akibat pemandu gagal mengawal kenderaannya ketika keluar simpang sehingga menyebabkan kemalangan," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya berharap pengguna jalan raya faham tanggungjawab mereka serta mengamalkan sikap pemanduan berhemah dalam menjadikan jalan raya sebagai tempat yang selamat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Ogos 2020 @ 5:47 PM