MD530G Light Scout Attack.
MD530G Light Scout Attack.
Amir Abd Hamid


PANDEMIK Covid-19 serta faktor spesifikasi khusus adalah antara punca enam helikopter yang dipesan untuk keperluan aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengalami kelewatan dibawa masuk ke negara ini.

Namun, tiga daripada enam helikopter jenis MD530G Light Scout Attack keluaran MD Helicopters Inc, anak syarikat gergasi aeroangkasa Amerika Syarikat (AS), McDonnell Douglas Corp itu akan tiba di Malaysia, dalam masa terdekat selepas mengalami kelewatan hampir empat tahun.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tiga helikopter sudah siap sepenuhnya namun mengalami kesukaran dari segi penghantaran ekoran situasi Covid-19.

"Kita sepatutnya menghantar pegawai ATM ke Amerika Syarikat (AS) untuk melakukan pemeriksaan serta memperoleh pensijilan tetapi kerana Covid-19, kita tidak dapat hantar dan kita tangguhkan. Helikopter ini dipesan khas mengikut spesifikasi ketenteraan.

"Mengikut jadual sepatutnya tiga helikopter yang siap sudah boleh dibawa balik ke Malaysia awal tahun ini namun ia terpaksa ditangguhkan berikutan sekatan perjalanan dikenakan akibat penularan Covid-19.

"Kita akan hantar beberapa pegawai ke sana (AS) untuk melakukan pemeriksaan selepas Covid-19 tamat (dan) jika semuanya ok kita boleh bawa balik tiga helikopter itu," katanya ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Datuk Johari Abdul (PH-Sungai Petani) ketika mencelah penggulungan ingin mengetahui bila enam helikopter tempur yang dikenali 'Little Bird' akan tiba di negara ini setelah penghantarannya mengalami kelewatan selama hampir empat tahun.

Enam helikopter MD530G Light Scout Attack sepatutnya diterima dalam dua fasa, dengan dua pada Julai 2017 dan empat lagi sebelum Disember 2018.

Pada November 2019, Kementerian Pertahanan menjelaskan kelambatan penghantaran aset itu ekoran pelbagai isu teknikal berkaitan syarikat pembuat asal (OEM).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Ogos 2020 @ 7:05 PM