PEGAWAI penguat kuasa KPDNHEP melakukan pemeriksaan ke atas sebuah lori yang digunakan suspek untuk membawa diesel yang dipercayai cuba diseludup keluar.FOTO Melvin Joni
PEGAWAI penguat kuasa KPDNHEP melakukan pemeriksaan ke atas sebuah lori yang digunakan suspek untuk membawa diesel yang dipercayai cuba diseludup keluar.FOTO Melvin Joni
Melvin Joni


CUBAAN seorang lelaki menyeludup keluar 1,800 liter diesel dianggarkan bernilai RM3,276 gagal apabila ditahan pihak berkuasa di Sungai Tenggang, Batu 67, Jalan Sri Aman, Serian, Khamis lalu.

Pengarah Kementerian Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sarawak Datuk Stanley Tan berkata, suspek warga tempatan itu ditahan oleh Pasukan Gerakan Am Batalion 11 dalam Ops Libas yang dijalankan di Serian.

Katanya, kes kemudian diserah kepada KPDNHEP Sarawak untuk siasatan dan tindakan lanjut.

"Siasatan awal oleh KPDNHEP mendapati Orang Kena Tuduh tidak memiliki lesen atau kebenaran untuk memiliki atau menjalankan urus niaga barang kawalan berkenaan," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, sebuah lori yang digunakan untuk mengangkut diesel berkenaan turut dirampas menjadikan nilai keseluruhan rampasan kira-kira RM93,000.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan dibaca bersama Peraturan 3 (1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

Beliau berkata, jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM1 juta bagi setiap kesalahan yang dilakukan atau penjara tidak melebihi tempoh selama tiga tahun atau kedua-duanya.

Stanley berkata, KPDNHEP Sarawak dengan kerjasama jabatan serta agensi penguat kuasa lain akan sentiasa memantau, menjalankan pemeriksaan dan mengambil tindakan tegas untuk menangani ketirisan barang kawalan bersubsidi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Ogos 2020 @ 7:16 PM