Ekhwan Haque Fazlul Haque

SANITASI awam perlu dilakukan setiap hari terutama di kawasan yang kerap disentuh orang ramai bagi memastikan penularan wabak Covid-19 di dalam negara dapat dikawal.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menasihatkan orang ramai melakukan sanitasi nyah kuman itu dilakukan setiap hari tanpa perlu menunggu hanya setiap enam bulan.

Menurutnya, keadaan ini bagi membolehkan kawasan berkenaan sentiasa dalam keadaan bersih tanpa kuman dan ia boleh membantu mengurangkan risiko penularan.

"KKM mencadangkan sanitasi seperti di restoran atau tempat yang kerap disentuh disanitasi setiap hari dan bukan enam bulan sekali," katanya pada sidang media harian Covid-19, di Putrajaya, hari ini.

ANGGOTA Unit Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) Jabatan Bomba dan Penyelamat melakukan kerja sanitasi awam di Kompleks Mahkamah Melaka dekat Ayer Keroh. FOTO Bernama
ANGGOTA Unit Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) Jabatan Bomba dan Penyelamat melakukan kerja sanitasi awam di Kompleks Mahkamah Melaka dekat Ayer Keroh. FOTO Bernama

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sebelum ini dilaporkan sedang merangka prosedur operasi standard (SOP) untuk melaksanakan sanitasi awam setiap enam bulan atau setahun.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin dipetik berkata, SOP itu sedang dalam penelitian sebelum boleh dilaksanakan dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) diarah untuk membuat program sanitasi semula di kawasan awam yang perlu.

Dalam sidang media sama, Dr Noor Hisham berkata, KKM akan menjalankan saringan bersasar untuk Kluster Bukit Tiram khususnya untuk mereka yang menghadiri program keagamaan di sebuah gereja Roman Katolik.

"Kita ada dua pelajar dari Kluster Bukit Tiram yang kembali dari Filipina dan besar kemungkinan jangkitan daripada seorang daripada mereka. Kita akan menjalankan saringan kepada kumpulan Roman Katolik di Johor.

"Ini adalah tindakan proaktif dan pemantauan kepada mereka yang terbabit namun tiada pertambahan kes baharu. Kumpulan gereja ini akan dimasukkan dalam kumpulan sasar KKM seperti sekolah tahfiz dan jemaah tabligh yang dilakukan dulu," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Ogos 2020 @ 7:45 PM