KESA dicari polis bagi bantu kes bunuh wanita warga Indonesia. FOTO ihsan polis
KESA dicari polis bagi bantu kes bunuh wanita warga Indonesia. FOTO ihsan polis
Ekhwan Haque Fazlul Haque


SEORANG wanita warga Indonesia sedang diburu polis bagi membantu siasatan kes bunuh membabitkan seorang wanita yang mayatnya ditemui di tepi jalan di Jalan Pandan Indah 1/16 Pandan Indah, 30 Julai lalu.

Wanita dikenali sebagai Kesa berusia 30-an itu dipercayai rakan kepada mangsa dan boleh membantu polis mendapatkan maklumat lanjut berkaitan kes bunuh berkenaan.

Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya dalam kenyataan media hari ini meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai wanita terbabit supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Asisten Superintendan N Yugantharan di talian 012-8726664 atau 03-42952222 sambungan 7267.

Mangsa berusia 28 tahun itu dipercayai dibunuh di lokasi lain sebelum mayatnya dicampak di kawasan berkenaan.

Susulan kejadian itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Noor Azmi Yusoff berkata, sembilan lelaki termasuk tiga warga asing berusia antara 20 hingga 49 tahun ditahan di Seri Kembangan, Sea Park dan Sungai Jarum.

Katanya, polis menerima laporan daripada seorang pembantu perubatan Hospital Ampang berhubung kejadian menimpa mangsa pada 8.30 malam.

"Mangsa yang juga wanita warga asing berusia 28 tahun ditemui dalam keadaan terbaring di tepi jalan dengan keadaan lengkap berpakaian dengan kesan lebam pada leher, tulang selangka kanan serta beberapa bahagian tubuh mangsa yang lain," katanya dalam kenyataan Jumaat lalu.

Motif pembunuhan masih dalam siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Berita berkaitan:

  • Bunuh, campak mayat wanita tepi jalan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Ogos 2020 @ 8:51 PM