KAYU dari Myanmar yang dirampas MAQIS ketika cuba diseludup di Pelabuhan Klang. FOTO ihsan MAQIS
KAYU dari Myanmar yang dirampas MAQIS ketika cuba diseludup di Pelabuhan Klang. FOTO ihsan MAQIS
Ruwaida Md Zain


JABATAN Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Negeri Selangor berjaya menggagalkan cubaan sebuah kapal tongkang membawa masuk muatan kayu bernilai RM95,356.38 dari Myanmar melalui pintu masuk Pelabuhan Klang Selatan, Khamis lalu.

Pengarah MAQIS Selangor, Dr Tarmisal Alimin berkata, MAQIS Selangor dengan kerjasama Unit Risikan Marin Selangor bertindak merampas kapal yang membawa kayu seberat 51,500 kilogram (kg) itu.

"Hasil pemeriksaan yang dilakukan pegawai penguatkuasa MAQIS mendapati dagangan

itu tidak mematuhi syarat import seperti dinyatakan dalam permit import MAQIS dan disyaki memalsukan dokumen import iaitu sijil fitosanitasi.

"Kapal tongkang dan dagangan itu dirampas untuk tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tarmisal berkata, kegagalan mengemukakan maklumat itu adalah kesalahan mengikut Seksyen 15(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].

"Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau keduanya sekali mengikut Seksyen 15(2) akta sama.

Katanya, MAQIS sentiasa melakukan pemeriksaan keluaran pertanian di semua pintu masuk negara.

"Ini bagi memastikan tumbuhan, haiwan, karkas, ikan, keluaran pertanian dan mikroorganisma yang diimport ke negara ini bebas ancaman perosak, penyakit dan bahan cemar, serta mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan kerajaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Ogos 2020 @ 8:58 PM