GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Oleh Ruwaida Md Zain


SERAMAI 131 pelajar perempuan Maahad Tahfiz Selangor, Jalan Istana Lama, Kampung Bandar, Banting terselamat selepas asrama yang dihuni mereka terbakar, hari ini.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 5.49 pagi.

Beliau berkata, bomba tiba di lokasi pada 6.05 pagi.

"Sebaik tiba di lokasi, bomba mendapati kebakaran membabitkan sebuah asrama tahfiz wanita (bangunan kelas A).

"Bangunan empat tingkat dengan keluasan 30 x 100 kaki itu musnah terbakar sebanyak 40 peratus di tingkat empat.

"Kita dapati penghuni asrama wanita itu iaitu 131 orang pelajar sudah keluar dan berkumpul di kawasan tempat selamat," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Hafisham berkata, kebakaran terbabit berjaya dikawal pada 6.24 pagi.

Bagaimanapun, kerja-kerja pemadaman sedang dijalankan pasukan bomba.

Beliau berkata, punca kejadian masih dalam siasatan.

Katanya, operasi itu membabitkan 27 pegawai dan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Banting, BBP Telok Panglima Garang, BBP KLIA, BBP Pelabuhan Klang, BBP Seksyen 7.


Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Ogos 2020 @ 9:06 AM