ASMA serik bersuamikan lelaki warga asing dan Leha (kanan) bersama dua anak perempuan menunjukkan gambar anak gadisnya yang pernah dilarikan lelaki warga Indonesia. FOTO Ramli Ibrahim.
ASMA serik bersuamikan lelaki warga asing dan Leha (kanan) bersama dua anak perempuan menunjukkan gambar anak gadisnya yang pernah dilarikan lelaki warga Indonesia. FOTO Ramli Ibrahim.
Ramli Ibrahim


"KAMI serik bersuamikan lelaki warga asing kerana nikmat tinggal bersama tidak lama, akhirnya kami ditinggalkan selepas dia pulang ke negara asalnya.

"Sudah lebih setahun suami pulang ke negara asal dan belum kembali menyebabkan kami digantung tidak bertali," kata seorang wanita Orang Asli, Asma Asim, 36, di Lojing, dekat Gua Musang.

Dia mengakui bukan dirinya sahaja yang berdepan nasib itu, tetapi ramai lagi wanita Orang Asli yang terperangkap janji manis lelaki hidung belang warga asing.

Katanya, suaminya seorang warga Indonesia bekerja di kebun sayur berhampiran rumahnya di Lojing.

"Saya nekad mendirikan rumah tangga dengan lelaki itu kerana terlalu mencintainya.

"Kami juga langsung tidak dengar nasihat ibu bapa ketika itu kerana mabuk bercinta, sekarang baru sedar kesannya," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Asma berkata, hasil perkongsian hidup, dia dikurniakan seorang cahaya mata lelaki dan terpaksa bekerja sendiri untuk menampung perbelanjaan.

Semalam, Portal Harian Metro mendedahkan lebih 50 wanita Orang Asli gantung tidak bertali selepas suami mereka warga asing termasuk Indonesia, Bangladesh dan Pakistan pulang ke negara asalnya.

Nasib sama bakal berdepan kepada lebih 50 lagi wanita kaum itu kerana suami mereka pulang ke negara asal bermula tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) Mac lalu.

Sementara itu, seorang lagi penduduk Orang Asli, Leha Jali, 47, berkata, anak gadisnya berusia 17 tahun pernah hilang lima bulan lalu dibawa lari teman lelaki warga Indonesia.

Bagaimanapun, katanya, dia bernasib baik kerana dapat kembali ke pangkuan keluarga selepas penduduk mengesannya, hanya dalam tempoh semalaman.

"Selepas kejadian itu, kami tidak lagi membenarkan tiga anak gadis keluar rumah kerana bimbang diganggu lelaki warga asing yang selalu berkeliaran sekitar kampung.

"Kami tidak mahu mereka menjadi mangsa lelaki hidung belang warga asing kerana mereka juga sudah ada isteri di negara asalnya," katanya.

Berita berkaitan:

  • Lebih 50 ditinggalkan suami warga asing
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Ogos 2020 @ 11:08 AM