FOTO hiasan.
FOTO hiasan.
BERNAMA

MALAYSIA mempunyai seramai 71,041 doktor perubatan yang berkhidmat di sektor awam dan swasta dengan nisbah seorang doktor boleh memberi khidmat kepada 454 penduduk setakat ini.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, daripada jumlah itu, 73 peratus atau seramai 51,912 doktor perubatan berdaftar dan berkhidmat di bawah Kementerian Kesihatan (KKM).

"Nisbah ini adalah lebih baik berbanding nisbah satu kepada 500 (1:500)," katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (PH-Kuala Selangor) yang ingin tahu mengenai bilangan doktor di bawah KKM dan nisbah doktor bagi setiap penduduk Malaysia.

Dzulkefly turut ingin tahu sama ada Malaysia merancang untuk menambah bilangan doktor selari dengan saranan nisbah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang menyarankan satu doktor bagi setiap 500 penduduk.

Mengulas lanjut, Dr Adham berkata, sehingga 30 Jun lalu, seramai 11,059 doktor pergigian bekerja dalam sektor awam dan swasta bersamaan dengan nisbah seorang doktor bagi 2,963 penduduk dan daripada jumlah keseluruhan doktor pergigian itu, seramai 6,530 berkhidmat di bawah KKM.

"Bagi ahli farmasi pula, seramai 19,341 individu bekerja dalam sektor awam dan swasta dengan nisbah satu bagi 1,694 penduduk dan daripada jumlah ini, seramai 11,616 ahli farmasi berdaftar dan berkhidmat di KKM," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Ogos 2020 @ 12:12 PM