Minuman keras dan rokok pelbagai jenama belum lulus cukai kastam yang dirampas PGA Miri di sebuah rumah di Tamarn Desa Senadin, pagi semalam.
Minuman keras dan rokok pelbagai jenama belum lulus cukai kastam yang dirampas PGA Miri di sebuah rumah di Tamarn Desa Senadin, pagi semalam.
Erika George

PASUKAN Gerakan Am (PGA) Miri merampas pelbagai jenis minuman keras dan rokok pelbagai jenama bernilai RM1.34 juta dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Desa Senadin, Miri semalam.

Pegawai Pemerintah Batalion 12 PGA Miri Superintendan Tan Hiap Seng berkata, dalam serbuan itu ditemui sebanyak 1,824 kotak bir tin, 202 kotak bir botol dan 90 kotak minuman keras pelbagai jenis bernilai RM406, 507.

"Turut ditemui adalah 4,195 karton rokok putih dan 2,244 karton rokok kretek pelbagai jenama bernilai RM936, 782 yang turut disimpan dalam rumah berkenaan," katanya.

Menurutnya, hasil semakan yang dijalankan mendapati kesemua rokok dan minuman keras terbabit belum lulus Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Katanya, tiada tangkapan dibuat ketika serbuan dijalankan kerana pemilik rumah atau penjaga rumah tiada di kediaman terbabit.

"Siasatan terperinci akan dijalankan bagi mengetahui pemilik atau dalang di sebalik kegiatan penyeludupan itu.

"Maklumat awal yang dijalankan mendapati rumah terbabit dijadikan sebagai tempat penyimpanan bekalan minuman keras dan rokok sebelum diedarkan di premis perniagaan sekitar Senadin, Kuala Baram, Permy dan Lutong," katanya.

Menurutnya, rampasan itu kemudiannya diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri untuk siasatan lanjut.

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 135(1) (d) Akta Kastam 1967.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Ogos 2020 @ 1:30 PM