Grafik hasil kaji selidik Kempen Hentikan Pasaran Gelap BAT Malaysia. FOTO ihsan BAT Malaysia
Grafik hasil kaji selidik Kempen Hentikan Pasaran Gelap BAT Malaysia. FOTO ihsan BAT Malaysia
Ekhwan Haque Fazlul Haque


KAJIAN dijalankan British American Tobacco (Malaysia) Berhad (BAT Malaysia) mendapati 88 peratus rakyat Malaysia percaya pasaran gelap rokok menghalang pemulihan ekonomi Covid-19.

Pengarah Urusannya, Jonathan Reed berkata, kaji selidik itu dibuat sebahagian daripada Kempen Hentikan Pasaran Gelap yang dilaksanakan syarikat berkenaan membabitkan 2,000 individu.

Menurutnya, tiga faktor utama yang menyebabkan pasaran rokok gelap berleluasa adalah kerana masalah rasuah sebanyak 38 peratus, cukai tinggi (27 peratus) dan agensi penguatkuasaan undang-undang yang memiliki sumber terhad untuk menangani masalah berkenaan (19 peratus).

"Sembilan daripada 10 rakyat Malaysia mahu kerajaan mengambil langkah segera terhadap pasaran gelap rokok yang mengakibatkan berlakunya ketirisan lebih RM5 bilion dari hasil cukai setiap tahun.

"Rakyat Malaysia percaya mengurangkan perbezaan harga antara rokok sah dan seludup selain kerjasama yang lebih menyeluruh agensi penguatkuasaan undang-undang penting untuk banteras pasaran rokok gelap," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Jonathan berkata, BAT Malaysia mengalu-alukan respon daripada rakyat Malaysia terhadap kempen yang dijalankan sejak 6 Julai lalu menerusi laman web berkenaan dengan meraih lebih 30,000 pelayar unik.

Beliau berkata, menerusi kaji selidik yang diterima, jelas rakyat Malaysia begitu bimbang terhadap masalah pasaran gelap rokok dan bersedia menyokong tindakan segera kerajaan membanteras sindiket jenayah yang beroperasi di sebalik masalah itu.

Tambahnya, BAT Malaysia akan menyiarkan hasil kaji selidik itu dan melancarkan kaji selidik kedua di laman web https://stoptheblackmarket.com.my yang menjadi saluran kepada rakyat untuk memberi pendapat mengenai kaedah yang boleh dilakukan bagi menangani masalah ini secara menyeluruh.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Ogos 2020 @ 6:38 PM