GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

LAPAN individu dijatuhi hukuman penjara antara tiga dan sembilan tahun oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini atas kesalahan pengubahan wang haram dan menerima deposit tanpa lesen berkaitan pelaburan jongkong emas pada 2011.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh juga memerintahkan semua individu terbabit didenda antara RM1 juta hingga RM3 juta atau penjara antara dua dan empat tahun jika gagal membayar denda berkenaan.

Mereka ialah tiga pengarah Genneva Malaysia Sdn Bhd (GMSB), Datuk Tan Liang Keat, Datuk Philip Lim Jit Meng dan Ahmad Khairuddin Ilias, pengurus besarnya, Lim Kah Heng serta dua penasihat perniagaan syarikat itu, Datuk Ng Poh Weng, Datuk Marcus Yee Yuen Seng serta dua individu lagi, Datuk Chiew Soo Ling dan Yao Kee Boon.

Mahkamah dalam pada itu turut mengenakan denda antara RM1 juta dan RM5 juta terhadap GMSB serta dua syarikat lain, Success Attitude Sdn Bhd dan Ng Advantage Sdn Bhd atas kesalahan sama.

Ahmad Shahrir menjatuhkan hukuman penjara dan denda itu selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasan semua individu terbabit dan tiga syarikat itu daripada pertuduhan masing-masing yang diputuskan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 2017.

Dalam keputusannya, beliau mendapati bahawa semua individu dan tiga syarikat berkenaan terbabit dalam skim pengambilan deposit secara haram berkaitan pelaburan emas.

Ahmad Shahrir bagaimanapun membenarkan permohonan semua mereka untuk penangguhan pelaksanaan hukuman penjara serta denda sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan, dan menetapkan masing-masing dibebaskan dengan jaminan antara RM100,000 dan RM1 juta.

Mengikut pertuduhan, GMSB, Tan, Lim, Ng, Jit Meng dan Ahmad Khairuddin didakwa atas 12 pertuduhan terbabit dalam pengubahan wang haram dengan cara memiliki, menerima, memindah dan memperoleh sejumlah wang hasil daripada aktiviti haram melalui cek daripada akaun CIMB Islamic Bank Berhad ke dalam akaun CIMB Bank Berhad milik mereka.

Pendakwaan terhadap mereka dibuat mengikut Subseksyen 6(4) Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989 (Akta 372) yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM10 juta atau 10 tahun penjara atau kedua-duanya.

Manakala GMSB, Success Attitude dan Ng Advantage, serta tujuh individu iaitu Tan, Lim, Ng, Jit Meng, Yee, Chiew dan Yao menghadapi lebih 1,000 pertuduhan membabitkan diri dalam pengubahan wang haram dengan menerima wang hasil daripada aktiviti haram daripada pelbagai syarikat.

Pertuduhan itu mengikut Subseksyen 4(1) (a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001, yang memperuntukkan hukuman penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Terdahulu, dalam rayuan untuk peringanan hukuman, peguam Gooi Sooi Seng yang mewakili Tan, Jit Meng, Yee, Chiew dan Yao berkata semua anak guamnya sudah dimaklumkan oleh penasihat undang-undang yang dilantik syarikat mereka bahawa skim pelaburan itu adalah sah dan tidak memerlukan lesen selain pendeposit diberi sijil pemilikan dan kepingan emas bagi setiap pelaburan yang dibuat.

Beliau juga berkata semua transaksi pelaburan emas dilakukan menerusi cek dan ini menunjukkan wujudnya elemen ketelusan.

Timbalan Pendakwa Raya Bank Negara Alvin Ong pula memohon mahkamah supaya mengambil kira faktor kepentingan awam dalam menjatuhkan hukuman.

"Kes ini serius kerana membabitkan jumlah kerugian yang besar. Mohon mahkamah mengenakan hukuman yang tinggi bagi menunjukkan keseriusan mahkamah terhadap kesalahan-kesalahan seperti ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Ogos 2020 @ 9:47 PM